Mini Muzium IPG Kampus Batu Lintang dilancarkan secara rasmi pada tahun 1998. Idea penubuhan diilhamkan oleh Dr. Hjh. Haminah binti Suhaibo dan pensyarah Jabatan Sains Sosial. Pada peringkat awal penubuhan sumbangan bekas penuntut khususnya dari negara Brunei Darussalam banyak membantu untuk menjayakan aspirasi ini. Tidak dilupakan juga sumbangan bekas penuntut dari Sarawak dan Sabah. Sehingga tahun 2022 IPGK Batu Lintang telah berjaya melahirkan 16,000 orang penuntut yang telah berkhidmat di seluruh Malaysia dan Brunei. Kami mengharapkan dengan wujudnya mini muzium ini dapat menyimpan serba sedikit catatan memori bukan sahaja bekas tawanan Perang Dunia Kedua malahan juga semua bekas penuntut dan guru yang telah dilatih di sini.

Pada peringkat awal koleksi muzium hanya ditempatkan disebuah bilik kecil. Walau bagaimanapun apabila koleksi bahan menjadi semakin banyak ia telah dipindahkan ke bangunan mini muzium yang digunakan sekarang. Bangunan mini muzium ini pada asalnya ialah bilik mesyuarat yang dibina pada tahun 1960-an. Kemudian bilik ini ditukarkan menjadi makmal komputer sebelum diserahkan menjadi muzium mini.