Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera,


Syukur alhamdulillah, Jawatankuasa Muzium Mini IPG Kampus Batu Lintang di bawah aktiviti NBOS telah berjaya membangunkan laman web yang baru untuk tujuan mendigitalkan bahan Muzium Mini untuk dikongsi bersama. Kejayaan mendigitalkan bahan maujud kepada digital bererti bermulanya fasa kedua proses perkembangan Muzium Mini selepas tertubuhnya Muzium Mini secara rasmi pada tahun 1998.


Muzium Mini di IPG Kampus Batu Lintang sangat penting untuk menyimpan sebahagian daripada khazanah perang dunia kedua dan lokasi kampus ini juga merupakan salah sebuah lokasi sejarah yang sangat penting yang meliputi Rumah Punjabi dan beberapa bunker yang masih kekal terpelihara.


Pendidikan sangat penting bukan sahaja untuk diri individu tetapi juga bertindak dalam mewujudkan semangat patriotisme dan jati diri sebagai bangsa Malaysia. Justeru itu Muzium Mini ini boleh memainkan peranan dalam meningkatkan peranan ke arah pembentukan masyarakat Malaysia yang bersatu. Pengorbanan tentera dan ramai orang awam tanpa mengira bangsa semasa perang dunia kedua tercermin dalam diri IPGK Batu Lintang apabila menjadi tapak perkuburan kepada lebih 2500 orang yang mati semasa dalam tahanan. Pengorbanan mereka yang terdahulu sangat bererti buat semua bangsa Malaysia. Kadang-kadang sejarah bukanlah tidak penting untuk masyarakat awam tetapi kaedah penyampaian dan prosedur yang terlalu ekslusif mengehadkan keinginan tersebut.


Di atas kesedaran itu maka kami menyahut cabaran untuk membawa Muzium Mini kepada orang awam dan pelajar di luar Kampus agar dapat sama-sama berkongsi rasa dan cerita sejarah kami. Justeru itu kami mendigitalkan koleksi bahan Muzium sedikit demi sedikit untuk tatapan generasi akan datang. Kami melihat dunia ICT yang berkembang pesat boleh digunakan untuk masyarakat moden mengunjungi Muzium pada bila-bila masa.


Kami sangat mengalu-alukan cadangan dan pandangan positif bagi memantapkan lagi kandungan laman web ini untuk manfaat semua pihak.

Sekian, terima kasih di atas kesudian mengunjungi laman web Muzium Mini IPG Kampus Batu Lintang.