TOKOH KEPIMPINAN PENDIDIKAN SARAWAK 2014
DATU Dr. HJ. ADI BADIOZAMAN TUAH
Datu Dr Hj. Adi Badiozaman Tuah dilahirkan di Tatau, Bintulu pada 15 Ogos, 1951. Beliau mendapat pendidikan di Local Authority Central Upper Primary School Tatau, Bintulu Government Secondary School dan Tanjong Lobang Secondary School. Beliau seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Muda Sastera, Diploma Pendidikan, Sarjana Pendidikan di Universiti Malaya, dan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Pengurusan dan Pentadbiran Pendidikan di University Of Bristol, England, United Kingdom.
Kerjaya beliau dalam bidang pendidikan bermula pada tahun 7.1.1974 sebagai guru di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, Miri, Selepas itu, beliau menjadi Penolong Pengarah Bahagian Sekolah Menengah, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak pada tahun 1975. Beliau menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Batu Lintang pada tahun 1976 hingga 1977 dan bertugas semula di Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak sebagai Penolong Pengarah Bahagian Pentadbiran pada tahun 1979 selepas memperoleh Ijazah Sarjana Pendidikan dari Universiti Malaya. Pada tahun yang sama, beliau ditugaskan di SMK Green Road sebagai pengetua. Pada tahun 1980 hingga 1983, beliau menjadi pengetua Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, Miri. Beliau menyandang jawatan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kurikulum, Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak pada tahun 1983 hingga 1984 dan Pengetua Sekolah Agama, Majlis Islam Sarawak pada tahun 1984 hingga 1986. Datu Dr. Hj. Adi Badiozaman dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penyeliaan Sekolah di Jabatan Pendidikan Negari Sarawak dari tahun 1986 hingga 1987 dan tahun 1990 hingga 1993. Beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai Pegawai Pendidikan Bahagian di Jabatan Pendidikan Bahagian Sri Aman ( 1987 hingga 1989) dan Jabatan Pendidikan Miri (1989 hingga 1990). Selepas memperoleh Ijazah Kedoktoran (Phd.) dalam bidang Pengurusan dan Pentadbiran Pendidikan di University Of Bristol, United Kingdom pada tahun 1996, Datu Dr. Hj. Adi Badiozaman bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan Perkhidmatan Pendidikan di Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak dari tahun 1996 hingga 1999 dan Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Bahagian Sekolah di Kementerian Pendidikan Malaysia dari tahun 1999 hingga 2001 sebelum beliau menjadi Pengarah Maktab Perguruan Batu Lintang, Kuching dari tahun 2001 hingga 2003. Pada tahun 2003 hingga 2006, beliau telah menjadi Pengarah Pendidikan Sarawak dan seterusnya sebagai Pengarah, Lembaga Peperiksaan Malaysia di Kementerian Pendidikan Malaysia dari tahun 2006 sehingga beliau bersara pada 15 Ogos 2007.
Datu Dr Hj Adi Badiozaman Tuah merupakan pengasas penubuhan Sekolah Rendah dan Menengah Agama Majlis Islam Sarawak. Beliau telah dipinjamkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak dari Jabatan Pelajaran Sarawak dan ditempatkan di Majlis Islam Sarawak selama dua tahun (Oktober 1984 – September 1986) untuk mengkonsepsikan dan merancang serta menggerakkan penubuhan sekolah rendah dan sekolah menengah agama di bawah naungan Majlis Islam Sarawak sambil menjalankan juga tugasa sebagai Setiausaha Majlis Islam Sarawak. Sekolah rendah agama yang pertama dimulakan di Kuching pada tahun 1985 (Madarasah Datuk Haji Abdul Kadir Hassan). Tujuh buah sekolah rendah yang lain terdapat di Sri Aman, Sibu, Miri, Sarikei, Lawas, Kota Samarahan, dan Bintulu. Sekolah menengah yang telah ditubuhkan oleh Majlis Islam ialah SMA Tun Ahmad Zaidi Adruce, Kuching.
Selain itu, beliau juga merupakan pencetus idea dan pembentuk konsep Sekolah Seni Malaysia kerana Kementerian Pendidikan Malaysia sudah mempunyai pelbagai jenis sekolah yang memberi tumpuan kepada bidang dan jurusan yang khusus seperti sekolah agama, sekolah berasrama penuh, sekolah menengah sains, sekolah teknik dan vokasional, dan sekolah sukan selain daripada sekolah biasa, dan kerana menyedari juga pentingnya pendidikan seni diajar secara formal di sekolah menengah sebagai satu usaha konkrit untuk mengwujudkan masyarakat berbudaya dan pembangunan jati diri warga muda, maka satu gagasan mengenai penubuhan sekolah seni telah disampaikan kepada YB Menteri Pelajaran pada tahun 2004, dan kertas konsep telah dibentangkan untuk kelulusan rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia. Dua buah Sekolah Seni telah ditubuhkan pada tahun 2007 – sebuah di Johor Bharu dan sebuah lagi di Kuching.
Datu Dr. Hj. Adi Badiozaman Tuah telah memainkan peranan sebagai penggerak utama dan penggubal konsep Sistem Pentaksiran Kebangsaan Malaysia (SPPK) iaitu sistem pentaksiran pendidikan yang lebih holistic dan menyeluruh yang berpaksikan kepada fahaman bahawa assessment for learning hendaklah berjalan sama dan disedari serta diterima sebagai amalan pendidikan yang sama penting dengan assessment of learning, dan merangkumi empat komponen penting pentaksiran – pentaksiran berasaskan sekolah, ujian psikometrik (sikap, personaliti dan kebolehan am), peperiksaan awam (central examination), dan pentaksiran aktiviti kokurikulum, telah dibentang dan diterima oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk dilaksanakan.
Di samping itu, beliau ialah pencetus idea dan penggerak utama bagi pentafsiran semula makna (redefinition of) ‘school and schooling’ dan pembangunan ‘indigenous curriculum’ bagi masyarakat orang Asli dan masyarakat Penan kerana masyarakat minoriti seperti Orang Asli di Semenanjung Malaysia, Penan di Sarawak dan beberapa masyarakat Pribumi di Sabah, mendapati dan melihat sistem persekolahan formal yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia agak sukar untuk diterima dalam bentuk pelaksanaannya di kawasan-kawasan dan di kalangan masyarakat lain, dan didapati juga sukar dilaksanakan secara berkesan di kawasan-kawasan yang socially and culturally disadvantaged, maka telah disarankan supaya Kementerian Pendidikan Malaysia melihat dan mengkaji semula beberapa aspek pendidikan formal dan bentuk pelaksanaannya di kawasan-kawasan yang ‘sukar-budaya’ ini.
Semasa menjawat Jawatan Ketua Penolong Pengarah (Hal Ehwal Murid) di Bahagian Sekolah ,Kementerian Pendidikan Malaysia dari Mac 1999 hingga Februari 2001, beliau juga berperanan sebagai penggerak utama dalam usaha pemerkasaan dan peningkatan prasarana Pusat Kokurikulum dan beberapa cadangan telah dikemukan untuk memastikan ‘institusi’ pendidikan yang dinamakan Pusat Kokurikulum yang ada pada waktu itu ditingkatkan keberkesananya sebagai pusat latihan dan aktiviti kokurikulum (outdoor, kepimpinan, kebudayaan, perkemahan, dll.) Candagan yang dibuat pada waktu itu berpaksikan kepada empat bidang utama: a) pengurusan Pusat Kokuurikulum; b) penyediaan kemudahan; c) pemantapan program dan aktiviti; dan d) peningkatan mutu profesionalisme personel Pusat Kokurikulum (pemimpin dan jurulatih).
Datu Dr. Hj Adi Badiozaman Tuah juga banyak menulis makalah ilmiah tentang pendidikan dan diterbitkan dalam beberapa jurnal akademik selain menghasilkan kertas kerja untuk simposium, seminar dan konvensyen mengenai pendidikan, kesusasteraan dan kebudayaan. Buku ilmiah beliau School Supervision: A Sarawak Experience telah diterbitkan pada tahun 2004. Selain terlibat dalam alam pendidikan, Datu Dr. Hj Adi Badiozaman Tuah bergiat cergas dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan, kebudayaan, kebahasaan, kesusasteraan dan teater.
Datu Dr. Hj Adi Badiozaman Tuah pernah memenangi Piala Pungguk kerana menjadi Johan Pertandingan Menulis Sajak Remaja (1974) bagi sajak ‘Gratitude’. Sajak ‘Penagih Sepi’ menjadi anak Sarawak yang pertama menerima Hadiah Sastera Kebangsaan pada tahun 1975 untuk bidang puisi. Dalam gerakan kebahasaan dan kesusasteraan Datu Dr. Hj Adi Badiozaman Tuah juga pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Persatuan Bahasa dan Sastera Sarawak (PEBAS), Ketua Satu, Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA), Pengasas dan Ketua Satu, Gabungan Perastuan Penulis Sarawak (GPPS), Ahli Jawatankuasa Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA),Ketua Satu, Rumpun Seni Drama Sarawak (RUSDA) dan kini sebagai Pengerusi, Medan Teater Sarawak (MANTERA).
Dalam bidang kesusasteraan pula, Datu Dr. Hj Adi Badiozaman Tuah telah menghasilkan 3 kumpulan puisi perseorangan iaitu Lagu Malam, Puisi Buat Mama dan Penziarah Waktu. Selain itu karya-karya Datu Dr. Hj Adi Badiozaman Tuah juga dimuatkan dalam beberapa kumpulan puisi bersama dengan beberapa penulis nasional yang lain. Beberapa buah sajak Datu Dr. Hj Adi Badiozaman Tuah juga dimasukkan ke dalam buku teks untuk mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dan Komponen Sastera. Sehingga kini, kerana hasil karya kreatif dan penglibatan dalam dunia kebahasaan dan kesusasteraan Datu Dr. Hj Adi Badiozaman Tuah telah menerima anugerah Hadiah Sastera Kebangsaan (Puisi) 1975 & 2003, Hadiah Sastera Sarawak (Puisi) 1995, Hadiah Aktivis Sastera Sarawak 1997, Hadiah Sastera Sarawak (Drama) 1998, dan Anugerah Sastera Negeri Sarawak 2009.
Menelusuri 33 tahun tempoh perkhidmatan beliau dalam bidang pendidikan, beliau lebih banyak menjawat jawatan di peringkat pembuat dasar dan keputuisan seperti Pengetua, Pegawai Pendidikan Bahagian dan Pengarah di pelbagai peringkat dan sektor pendidikan negara malah Datu Dr. Haji Adi Badiozaman Tuah merupakan sebilangan kecil anak bumi Kenyalang yang diberi peluang menjawat jawatan tertinggi peringkat Bahagian di Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu sebagai Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia sebelum beliau bersara dalam perkhidmatan.
Bakat dan kebolehan beliau terus mendapat kepercayaan oleh kerajaan negeri Sarawak selepas beliau bersara apabila diberi kepercayaan memegang jawatan Pengarah, Biro Perkhidmatan Pendidikan, Majlis Islam Sarawak yang beliau banyak menyumbang kepada kemajuan dan peningkatan taraf pendidikan dalam kalangan masyarakat Islam di negeri Sarawak.
Datu Dr. Haji Adi Badiozaman Tuah bukan sahaja pemimpin pendidikan yang berkebolehan malah juga merupakan seorang pencetus idea dan penggerak gagasan pendidikan yang bukan sahaja bermatlamat untuk memajukan dan meningkatkan perkembangan pendidkan malah mengangkat martabat pendidikan ke tahap yang lebih tinggi dan disegani di peringkat negeri dan negara.
Dianugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Negeri Sarawak bersempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2014.